Sunday, March 09, 2008

Abdullah patut undur - Tun Mahathir

M Khaleel Kas
Sun | Mar 09, 08 | 5:20:00 pm

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya bagi kekalahan teruk yang dialami Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum semalam.



"Beliau patut memikul tanggungjawab dalam soal ini, sepertimana kemenangan besar-besaran pada 2004 yang dilaporkan disebabkan oleh kewibawaan beliau, 100 peratus, dan itulah yang dikatakan oleh Setiausaha Agung Umno pada ketika itu. "Tetapi sekarang beliau juga patut memikul tanggungjawab itu 100 peratus. Beliau telah memusnahkan Umno, beliau telah memusnahkan BN, dan beliau patut bertanggungjawab bagi kekalahan teruk ini," kata Tun Mahathir Mohamad seperti dipetik Bernama dalam sidang akhbar yang diadakan beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata amat mengejutkan bahawa BN tumbang di lima negeri dan Wilayah Persekutuan menerusi
isyarat serupa yang ditunjukkan oleh semua tiga kaum utama - Melayu, Cina dan India. "Saya fikir orang Jepun akan melakukan harakiri. Tetapi saya rasa orang Melayu tidak sampai ke tahap itu lagi. Saya fikir beliau patut menimbangkan untuk mengundurkan diri," katanya sambil menambah beliau juga akan mengambil tindakan yang sama jika beliau berada dalam situasi seperti Abdullah.

Kepada soalan sama ada BN telah tersilap perkiraan dengan mengadakan pilihan raya umum lebih awal, Dr Mahathir berkata beliau tidak yakin bahawa dengan menangguhkannya setahun lagi akan membawa sebarang perbezaan daripada segi keputusannya, kerana rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran Abdullah sudah
tidak dapat dibendung lagi. "Empat tahun selepas pilihan raya umum lepas, beliau telah melakukan banyak perkara yang salah tetapi mereka ini (media) terus melaporkan betapa rakyat menyayanginya," kata bekas Perdana Menteri itu.

Pelbagai isu yang membawa kepada rasa tidak puas hati terhadap kerajaan termasuk persepsi bahawa disebalik angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi diumumkan oleh kerajaan serta pelancaran wilayah-wilayah pembangunan, rakyat di peringkat akar umbi tidak berasa apa-apa (faedahnya). "Mereka mendapati bahawa kerajaan ini ditadbir oleh sebuah keluarga bagi kepentingan keluarga itu. Selagi wujud keadaan lebih mengutamakan keluarga daripada Kabinet, kerajaan sendiri, saya fikir rakyat akan mahu menentang mereka," katanya.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata bagaimanapun terserah kepada Umno untuk memutuskan mengenai pengganti Abdullah sekiranya beliau meletakkan jawatan, atau mungkin Dato' Seri Najib Tun Razak boleh mengambil alih. "Dato' Seri Najib telah meraih kemenangan mengagumkan, lebih baik daripada keputusan pada 2004 yang merupakan tahun terbaik bagi BN. Majoriti yang diperoleh beliau meningkat manakala kemerosotan undi Abdullah agak ketara," katanya.

Dr Mahathir berkata sebuah kerajaan yang dibentuk dengan majoriti mudah adalah sebuah kerajaan yang lemah terutama dalam sebuah negara berbilang kaum yang antara lain boleh menyebabkan ketidakstabilan, dan kemudiannya menjejaskan keyakinan pelabur. Beliau, bagaimanapun, berkata masih ada harapan bagi BN untuk memperbetulkan keadaan itu dengan syarat mereka mesti memberi perhatian terhadap isyarat yang diberikan oleh rakyat.

Kepada satu lagi soalan, Dr Mahathir berkata beliau percaya ia pastinya sukar bagi Abdullah untuk mengundurkan diri secara sukarela kerana, sehingga kini, Abdullah masih tidak cuba memahami kerumitan daripada kekalahan itu dan sebaliknya menyalahkan orang ramai bagi kekalahan itu. Melahirkan rasa sedih beliau dengan kekalahan itu, bekas Perdana Menteri berkata beliau tidak menjangka yang BN akan kalah seteruk itu.

Mengenai kebangkitan semula Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya ini, Dr Mahathir berkata beliau percaya bahawa Anwar masih "relevan" tetapi beliau sama sekali tidak akan menjadi Perdana Menteri negara ini. Dr Mahathir berkata beliau akan terus memainkan peranan sebagai seorang warganegara dengan menyuarakan dan berkongsi pendapatnya jika perlu. "Saya tidak mahu sebarang gelaran rasmi, menteri kanan atau penasihat tetapi jika mereka datang kepada saya dan meminta nasihat saya, saya bersedia untuk berkongsinya demi faedah negara," katanya.

Mengenai kemenangan anaknya Dato' Mukhriz di kawasan Parlimen Jerlun, beliau berkata ia cuma kejayaan biasa, meskipun dengan majoriti lebih besar. - mks.

Source: Harakah Daily