Sunday, March 11, 2007

"Semua Orang Salah Kecuali Kementerian Kesihatan", Kata Samy Vellu

SEREMBAN, 6 Mac (Bernama) -- "Lebih baik saya jangan cakap apa-apa. Kasi dia orang cakap...kita salahlah.

"Kita (Kementerian Kerja Raya) salah, kontraktor salah, subkontraktor salah, orang yang bagi tanah itu pun salah. Kementerian Kesihatan sahaja yang betul. Terima kasih," kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, di sini Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menafikan kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Star, berpunca daripada kementerian itu yang sering menukar skop kerja.

Samy Vellu berkata demikian selepas pelancaran produk Eubiq dan Grounding Sentry System (GSS), satu Revolusi Saluran Keluar Tenaga, di sini hari ini.

Dr Chua dipetik sebagai berkata tuduhan bahawa projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual kerana kementerian itu sering menukar skop, sebagai tidak benar.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mengaku kementerian berkenaan membuat beberapa pindaan dalam perkara itu, Samy Vellu berkata mereka boleh bercakap apa yang mereka suka.

Source: Bernama